Satu lumrah hidup yang tak boleh dielak oleh kaum wanita adalah kitaran haid atau lebih dikenali sebagai period. Bila dah datang bulan inilah kita sering mengalami pelbagai perubahan emosi dan majoriti akan mengalami sakit senggugut sampai menangis dan terbaring je kat katil. Antara situasi yang sering dilalui oleh kaum wanita semasa period adalah rasa lemah untuk sehari dua sebab sakit cramp di pinggang dan rahim. Walaupun ada painkillers yang boleh melegakan sakit buat sementara, kita kena ingat ubat-ubatan ini kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan. Jadi, painkiller ni bukanlah pilihan yang terbaik untuk kesihatan jangka panjang.
Kalau anda nak tahu, diet yang sihat termasuk minuman memainkan peranan penting untuk mengurangkan senggugut. Kalau jenis mudah hilang selera bila Aunty Flow datang melawat, anda boleh cuba minum jus-jus yang berkhasiat supaya tubuh anda mendapat nutrisi yang dapat kurangkan inflamasi. Jom kita ketahui 3 jus paling best serta berkhasiat yang dapat bantu redakan period cramp anda!
Jus Halia Epal (Ginger Apple)
Untuk pengetahuan anda,, segelas jus halia epal ini dapat memberi 25% lebih kalium dan mineral daripada keperluan harian. Kalium selalunya dikaitkan dengan keupayaan untuk tingkatkan mood kita, jadi sebab tu ia amat sesuai untuk diminum semasa kita sedang alami sindrom premenstruasi. Halia pula dapat membantu melegakan cramp supaya kita tak hilang banyak tenaga sepanjang hari.. Bukan tu je, jus ini kaya dengan zat besi dan kalsium serta tinggi kealkalian yang membantu menyuburkan sistem reproduktif dan sel-sel di dalam badan.

Bahan-bahan
Lobak Merah (3 keping)
Epal (1 keping)
Lemon (1 keping)
Halia (1 inci)
Parsli (1 cawan)
Air Kelapa (1 cawan)
Kaedah
Masukkan lobak merah, epal, lemon, halia, parsli segar dan air kelapa dalam juicer/blender menggunakan penapis jus. Kisar sehingga mendapat tekstur bewarna oren yang halus. Tuangkan ke dalam gelas, taburkan dengan daun pudina dan nikmati jus anda!
Jus Nanas dan Lobak Merah (Pineapple & Carrot)
Haa mesti ramai tahu keberkesanan makan nanas kalau period lewat atau rasa flow period macam tersekat. Tapi ramai tak tahu yang nanas juga amat baik untuk legakan senggugut kerana ia mengandungi jumlah bromelin yang tinggi dan juga enzim yang dapat meredakan kesakitan otot. Lobak merah pula membantu mengawal pengaliran darah dan memberi anda tenaga sepanjang hari. Gabungan 2 jenis buah ini amat sihat, lazat dan pastinya akan digemari oleh mereka yang suka minuman manis.

Bahan-bahan
Nanas Segar (2 cawan)
Lobak (2 keping)
Air (½ gelas)
Kaedah
Kisarkan kedua-dua bahan ini menggunakan juicer/blender dengan air yang secukupnya. Dah boleh terus minum atau sejukkan selama satu jam sebelum menikmatinya!
Jus Bit Merah dan Oren (Beetroot & Orange)
Gabungan ubi bit dan oren ini dapat membantu wanita untuk mengurangkan rasa letih terutamanya semasa period. Ubi bit terkenal sebagai sumber tenaga besi, kalsium dan asid folik. Sayuran ini dapat mengurangkan pengekalan air dan rasa kembung, sesuatu yang biasa dialami wanita masa haid. Selain itu, ubi bit ini juga membantu mengurangkan masalah emosi semasa datang bulan seperti kegelisahan, depresi dan perubahan mood.

Bahan-bahan
Ubi bit merah (2 keping)
Oren (1 keping)
Lemon (1/2 keping)
Kaedah
Potong kecil ubi bit merah dan masukkan ke dalam juicer/blender. Kemudian masukkan oren, dan lemon dan kisar hingga rata. Sejukkan selama sejam atau boleh terus nikmati sejurus siap dikisar.!
Kesimpulannya, tak susah pun nak buat jus-jus yang sedap dan menyihatkan! Dengan bahan-bahan yang mudah didapati dan sentiasa ada di dapur rumah, , anda boleh menambah baik tahap kesihatan anda bila Aunty Flow muncul setiap bulan! Selamat mencuba dan nikmati manfaat best untuk kesihatan anda!