Untuk memastikan kesihatan anda sentiasa berada pada tahap optimum khususnya di masa depan, makanan yang anda makan hari ini memainkan peranan yang sangat penting. Pemakanan yang sihat akan menghasilkan badan yang sihat serta mengurangkan risiko penyakit-penyakit yang sering dihidapi oleh warga emas. Jom baca apakah jenis-jenis nutrisi yang diperlukan oleh para wanita setiap hari.

Flat-lay Photography of Vegetable Salad on Plate

1. Vitamin B

Vitamin B mempunyai pelbagai jenis seperti vitamin B1, B2, B3 dan lain-lain. Kesemua jenis vitamin B adalah penting dalam memastikan sel badan berfungsi sepenuhnya. Untuk wanita hamil, vitamin B sangat penting dan ia boleh didapati melalui asid folik yang akan membantu mengelakkan kecacatan pada otak dan saraf tunjang bayi. Selain itu, vitamin B akan menukarkan makanan menjadi tenaga, mengekalkan sel kulit sihat dan pelbagai lagi. Antara makanan yang mengandungi vitamin B adalah susu, keju, telur, ayam, daging merah, ikan tuna dan banyak lagi.


2. Zat Besi

Zat besi adalah salah satu mineral yang paling penting untuk kesihatan kerana ia diperlukan untuk membawa oksigen ke seluruh badan, meningkatkan hemoglobin, menguatkan imuniti serta mengurangkan keletihan. Kekurangan zat besi akan menyebabkan penyakit anemia iaitu antara penyakit kekurangan nutrisi yang paling banyak di dunia. Tapi anda jangan terlebih amalkan ya! Bila terlebih, ia boleh memberi kesan seperti sembelit, loya dan sakit perut. Ini ada satu fakta menarik. Anda disarankan untuk mengambil zat besi bersama vitamin C kerana kombinasi kedua-dua ini akan memberikan penyerapan maksimum. Dapatkan zat besi seharian anda melalui daging merah, ikan tuna, brokoli, makanan laut serta roti.


3. Vitamin D

Antara makanan yang mengandungi vitamin D adalah produk tenusu seperti keju dan susu. Ia bertindak sebagai sahabat kalsium yang membantu memberikan perkembangan tulang yang sihat. Selain itu, vitamin D turut membantu dalam pertumbuhan sel, mengurangkan keradangan dan menambahbaik sistem imun. Namun begitu, vitamin D juga tidak boleh diamalkan secara berlebihan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada tisu buah pinggang, paru-paru dan jantung serta mual dan muntah.


4. Vitamin E

Kalau anda nak tahu, vitamin E merupakan nutrien kegemaran ramai wanita kerana ia memberi banyak manfaat kepada kulit serta bibir. Ini kerana vitamin E mengandungi antioksidan yang tinggi. Ia boleh memudarkan kesan parut, melambatkan penuaan, kedutan serta memberikan bibir yang lembut dan tidak kering. Selain itu, vitamin E turut membantu menguatkan sistem imun badan dan memperbaharui sel di dalam badan anda. Anda boleh memiliki vitamin E secukupnya dengan memakan makanan seperti badam, kacang hazel, avokado, kiwi, brokoli serta produk kecantikan berasaskan vitamin ini.


5. Magnesium

Magnesium merupakan mineral penting yang diperlukan agar badan anda berfungsi dengan baik. Ia tidak terkandung di dalam sel badan jadi anda perlu mengamalkannya melalui pemakanan anda. Nutrien ini penting untuk pelbagai proses metabolik dan untuk fungsi tubuh yang lain iaitu menghasilkan tenaga serta membina protein seperti DNA. Seterusnya, magnesium membantu mengatur reaksi kimia di dalam badan terutama dalam mengekalkan paras gula dan tekanan darah yang optimum. Antara sumber makanan yang kaya dengan magnesium adalah coklat gelap, avokado, pisang, ikan salmon dan ikan tenggiri.


Sebagai kesimpulan, pemakanan yang sihat dan bernutrisi pasti akan membawa manfaat kepada kehamilan, kesihatan dalaman, kulit serta penampilan. Bak kata orang putih, an apple a day, keeps the doctor away.