Ladies, tahukah anda bahawa risiko untuk diri anda mendapatkan kanser payudara adalah 1 daripada 27 orang di Malaysia? Dah makin berusia, makin meningkat risiko untuk hidap kanser jenis ini. Sebab itu kita kena sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan sentiasa peka dengan tubuh badan sendiri.

Menurut statistik global, kanser adalah faktor utama kematian di seluruh dunia dengan kanser payudara mempunyai jumlah utama sebanyak 2.26 juta kes pada tahun 2020. Di Malaysia, rekod pula menunjukkan kes kanser payudara meningkat bagi gadis berumur 25 tahun ke atas dan memuncak pada umur 60-64 tahun. 

Mesti ramai tertanya-tanya apakah tip yang boleh diambil untuk mencegah kanser payudara. Memang betul ada juga faktor risiko macam penyakit keturunan yang tak dapat dielakkan, tetapi janganlah kita leka dan ambil langkah pencegahan awal. Jom kita lihat beberapa tip gaya hidup yang dapat bantu mengurangkan risiko daripada menghidapi penyakit ini! 

Ketahui Kepadatan Payudara Anda

Semuanya bermula dengan tubuh badan diri, dengan mengenali sama ada payudara anda padat atau tidak. Ini amat penting kerana jika ia padat, kemungkinan anda menghidap kanser adalah enam kali lebih tinggi. Jadi bagaimana kita boleh check jika payudara kita padat? Simple sahaja, pastikan anda rajin buat saringan mamogram dan pemeriksaan klinikal payudara secara kerap terutamanya bila dah masuk umur 30-an dengan pakar ginekologi. Anda boleh juga buat ‘self breast examination’ di rumah secara harian, paling senang masa mandi. Step ini amat bermanfaat untuk pengesanan awal kanser dengan prognosis yang baik. Pastikan anda laporkan perubahan penampilan atau tekstur payudara jika ada kepada doktor anda.


Aktifkan Badan Anda

Kalau nak tahu, kita juga boleh kurangkan risiko kanser payudara dengan aktiviti fizikal seperti joging, yoga dan bermain badminton. So kenapa penting sangat exercise ni? Haa sebabnya ovari kita mengeluarkan estrogen secara natural tetapi bila dah menopaus, ia berhenti dan estrogen berubah menjadi lemak. Jadi, wanita yang lebih berisi dan mempunyai tisu lemak yang tinggi di badan lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara ini. Ada juga kajian yang menunjukkan bahawa wanita yang kerap lakukan senaman mempunyai nisbah estrogen sihat dari yang tak sihat, seterusnya merendahkan risiko hidap kanser payudara. Anda boleh cuba dengan semudah berjalan dengan cepat selama 1 jam 25 min secara minimum. Ia boleh menenangkan minda dan mengurangkan risiko kanser.


Ambil Diet Yang Sesuai

Makanan merupakan perkara asas untuk kita semua. Namun, anda kena peka dengan pemakanan diri kerana pengambilan vitamin dan nutrisi yang penting perlu untuk kekal sihat. Dah terbukti dalam pelbagai kajian bagaimana diet dapat mempengaruhi risiko menghidap kanser payudara. Contohnya, karotenoid yang terkandung dalam buah-buahan, sayur-sayuran berdaun, ubi jalar, tomato dan ‘red pepper’. Ia berfungsi sebagai antioksidan dan para wanita yang mempunyai kadar karotenoid tinggi mempunyai 19% risiko lebih rendah berbanding yang mempunyai karotenoid rendah dalam tubuh. Lepas ini, anda bolehlah tambahbaik diet harian anda dengan pengambilan 2.5 cawan buah dan sayuran. Mula hadkan pengambilan daging merah yang diproses dan makan bijian-bijian sebagai snek sepanjang hari. Bila anda praktis healthy eating, pastinya tubuh anda akan jadi lebih sihat dan mengurangkan risiko kanser payudara serta penyakit-penyakit lain.


Memang betul, kadang-kadang walaupun dah amal gaya hidup sihat tetapi tetap mendapat penyakit kronik seperti ini. Tapi tak rugi pun kalau kita mengambil inisiatif seperti di atas demi menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.Tunaikan tanggungjawab anda untuk menjaga kesihatan diri mulai hari ini!