Kalau anda nak tahu, yoga merupakan antara alternatif paling efektif untuk hidup lebih sihat sejak berkurun lamanya. Yoga berasal dari India dan ia berfungsi memberikan sokongan fizikal, mental dan rohani kepada manusia. Terdapat beberapa jenis teknik yoga yang memberi impak positif khusus buat para wanita. Disebabkan wanita melalui pelbagai fasa dalam hidup seperti akil baligh, keibubapaan serta menopaus, teknik-teknik yoga pasti dapat membantu memberikan proses yang lebih lancar. Jom baca beberapa teknik dan tip yang boleh dilakukan setiap hari oleh para wanita.

1. Adho Mukha Svanasana (Downward-facing dog)

Salah satu teknik yoga yang paling terkenal adalah Adho Mukha Svanasana kerana ia senang untuk dilakukan dan mempunyai pelbagai manfaat. Semua jenis umur pun akan senang melakukannya tambah-tambah untuk mereka yang nak badan lebih fit. Teknik ini memang digemari oleh wanita kerana ia merangsang peredaran darah ke seluruh badan.


2. Shishuasana (Child’s Pose)

Teknik yoga ini adalah teknik yang menenangkan dan sangat sesuai untuk para ibu yang bekerja. Sebagai seorang ibu, terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira khususnya keluarga dan kerjaya. Shishuasana dapat membantu membuang pemikiran negatif daripada minda anda dan membolehkan anda untuk lebih fokus kepada perkara yang jauh lebih penting.

3. Malasana (Garland Pose)

Teknik Malasana membabitkan regangan paha, pangkal paha, pinggul, pergelangan kaki dan torso. Ia membantu menegangkan otot perut dan meningkatkan fungsi usus besar untuk proses detoks yang lebih baik. Selain itu, teknik Malasana berupaya meningkatkan peredaran darah di bahagian pelvis yang akan membantu tenaga seksual. Untuk wanita bekerjaya, ia boleh memberi lebih keseimbangan, tumpuan dan fokus dalam kerja seharian.


4. Vrksasana (Tree Pose)

Ia merupakan postur yang akan membantu membina otot kaki anda. Latihan yang kerap akan menjadikan kaki anda lebih kuat, lebih fleksibel dan meningkatkan daya tahan. Selain itu, teknik Vrikshasana yang memfokuskan kepada keseimbangan ini juga turut memberi manfaat kepada kesejahteraan mental serta meningkatkan fokus dan tumpuan. Dengan ini, minda anda akan menjadi lebih tajam dan mengurangkan risiko depresi serta perubahan mood.

5. Navasana (Boat Pose)

Teknik yang terakhir ini berfungsi dalam menguatkan otot perut serta memperbaiki sistem pencernaan wanita. Amalan teknik ini akan meregangkan bahagian hamstring anda serta menguatkan tulang belakang dan pinggul anda. Lebih menarik lagi, teknik yang mudah ini akan membantu menghilangkan tekanan serta meningkatkan keyakinan anda sebagai wanita.

Kesimpulannya, yoga memang amat bermanfaat dalam mengawal minda, jiwa dan tubuh badan anda. Dengan pengamalan yang kerap dan konsisten, anda pasti akan dapat menemui ketenangan jiwa dan menjauhkan diri daripada elemen-elemen negatif dalam diri.